Seramai 500 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman serta 3,500 anggota Polis Kontingen Perak akan mengadakan latihan amali Ex-Ballot 111 di kawasan awam di negeri itu pada hari Ahad dan Isnin ini.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak cemas dengan kehadiran ramai anggota polis di kawasan awam pada hari-hari berkenaan.

"Latihan ini meliputi 15 daerah di Perak dan saya harap ia tidak akan menimbulkan ketakutan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

Beliau berkata terdapat jalan tertentu yang akan ditutup dan sekatan jalan raya juga akan dilakukan ketika latihan itu berlangsung.

Katanya latihan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada petugas di Pusat Kawalan Polis Kontingen dan Pusat Kawalan Daerah dalam aspek pengurusan.

"Kita juga akan memberikan pendedahan mengenai aplikasi Sistem Maklumat Pusat Kawalan dan Sistem Maklumat Pilihan Raya kepada semua petugas di pusat kawalan," katanya.

Mohd Shukri berkata selain itu ia juga bagi mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan yang berlaku semasa latihan amali itu dalam aspek pengurusan, logistik dan sumber manusia seperti kecekapan dan kemahiran petugas.

"Latihan ini juga bagi menguji masa tindak balas dari segi pergerakan serta tindakan yang diambil secara bersepadu oleh unit-unit PDRM peringkat kontingen dan daerah bagi menghadapi dan menangani isu-isu ketenteraman awam," katanya.

- Bernama