kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Rabu, 29 Jun 2011

Seniman PAKSI dakwa polis hina Pak Samad

Sekumpulan seniman dan budayawan mendakwa tindakan polis menyiasat Datuk A Samad Said ekoran sokongan terbukanya pada perhimpunan BERSIH 9 Julai ini adalah satu penghinaan terhadap sasterawan negara itu.

NONEMenamakan diri mereka sebagai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), mereka menyifatkan tindakan polis menyiasat A Samad atas akta hasutan dan akta polis sebagai tidak wajar dan menimbulkan curiga terhadap "manusia sebaik A Samad".

"Maka PAKSI berharap kepada pihak yang berkuasa agar tidak menggunakan kuasa yang ada secara sewenang-wenangnya dalam apa pun keadaan," kata presidennya Che Shamsuddin Othman.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dinsman malah meminta masyarakat umum membaca sendiri puisi A Samad yang dikatakan boleh menghasut dan mengganggu keselamatan itu.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Che Shamsuddin juga menggesa A Samad terus menikmati kebebasan berkarya agar dapat menyumbang sesuatu yang berharga.

NONEDitanya tentang tindakan kebanyakan seniman yang masih berdiam diri, Che Shamsuddin berkata beliau kesal dengan tindakan itu.


Jimadie Shah Othman
Jun 29, 11
6:38pm

"Saya kesal, mereka membiarkan Pak Samad begitu sahaja," katanya yang juga dramatis terkenal.

Bagi A Samad sendiri, beliau menyifatkan golongan itu sebagai "menjaga periuk nasi sendiri."

Manakala setiausaha PAKSI, Hasni Abas pula membidas tindakan polis yang didakwanya bertanyakan jumlah bayaran yang diterima A Samad ketika membacakan puisi di majlis pelancaran BERSIH baru-baru ini.

"Mereka tanya berapa Pak Samad dibayar kerana membaca sajak. Ini satu penghinaan," katanya.

iDAN:

Seniman itu adalah manusia yang sering melangkah setapak ke hadapan. Minda & daya fikir mereka tak sama dengan manusia lain. Seniman yang sejati lagi agong akan berkata benar biar pahit sekali pun. Pak Samad seorang Sasterawan yang berjiwa rakyat. Jiwanya memerontak jika satu isu itu bertinta hitam lagi silap dalam wawasannya.

Beliau tidak memihak mana-mana parti tapi beliau akan menyokong satu niat baik yang mahukan paksi keadilan ditegakkan. Jangan ganggu Pak Samad Idola hamba.

Harga HyppTV dari RM6 sebulan

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) mengumumkan kadar harga untuk saluran premium dan kandungan Video atas Permintaan (VOD) yang disediakan menerusi HyppTV, perkhidmatan televisyen berbayar terbaru di Malaysia pada harga dari RM6 hingga RM48.

Naib Presiden Eksekutif, New Media TM, Jeremy Kung berkata, berkuat kuasa 1 November kadar itu bermula dari RM6 untuk saluran premium dan RM8 untuk VOD merangkumi semua jenis kandungan, termasuk Hollywood, tempatan, Asia dan Bollywood. Siri TV terkenal Hollywood pula akan dicaj RM48 setiap tajuk (untuk set siri penuh) setiap musim dan boleh ditonton untuk sebulan.


“Buat masa ini HyppTV dinikmati lebih daripada 16,000 pelanggan kediaman menerusi perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) UniFi iaitu pakej VIP5, VIP10 dan VIP20,” katanya.

Menurutnya, TM akan menawarkan perkhidmatan VOD termasuk filem blokbuster dan siri tempatan.


“Selain saluran TV, kami juga menawarkan perkhidmatan VOD yang membekalkan kandungan yang berjumlah lebih daripada 1000 jam, termasuk filem blokbuster hit, siri terkemuka Hollywood serta filem dan siri tempatan. Perkhidmatan ini hanya ditawarkan menerusi HyppTV dan ia membolehkan anda memilih dan menonton program pada bila-bila masa saja,” katanya.


Menurut Kung, pihaknya merancang menambah saluran linear dan kandungan VOD dengan menyasarkan filem blokbuster terkini, siri popular, kandungan klasik dan serta kandungan untuk segmen khas.

Ketika pelancaran rasminya pada Mac 2010, pelanggan UniFi menikmati 22 saluran dan tajuk VOD berjumlah 400 jam secara percuma sepanjang tempoh promosi berakhir 30 Oktober 2010.


UniFi kini ditawarkan menerusi tiga pakej kediaman iaitu VIP5 pada RM149 sebulan, VIP10 (RM199) dan VIP20 (RM249).

iDAN: Masih terlalu mahal bagaimana mahu menyaingi Astro.

Azab Akibat Tinggalkan Solat


Semasa selesai bersembahyang di masjid, terbaca satu artikel menerangkan azab yang bakal diterima akibat lalai dan tidak menunaikan solat 5 waktu. Ketahuilah bahawa solat 5 waktu adalah wajib bagi umat Islam. Balasan akibat meninggalkan solat 5 waktu terbahagi kepada 4 keadaan iaitu :-
Semasa Di Dunia
  1. Allah SWT mencabut nur orang-orang yang soleh daripada wajahnya.
  2. Dia akan dibenci oleh orang-orang yang beriman.
  3. Allah SWT menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya.
Semasa Sakaratul Maut
  1. Ruh dicabut ketika ia berada didalam keadaan yang sangat haus.
  2. Dia akan merasa amat azab/pedih ketika ruh dicabut keluar.
  3. (su’ul khatimah)
  4. Dia akan dirisaukan akan hilang imannya.
Semasa Di Alam Barzakh
  1. Dia akan merasa susah (untuk menjawab) terhadap pertanyaan (serta menerima hukuman)dari Malaikat Mungkar dan Nakir yang sangat menggerunkan.
  2. Kuburnya akan menjadi cukup gelap.
  3. Kuburnya akan menghimpit sehingga semua tulang-tulang rusuknya bertemu (seperti jari bertemu jari)
  4. Mendapat siksaan dari binatang-binatang bisa seperti ular, kala jengking dan lipan.
Semasa Hari Kiamat
  1. Hisab keatasnya menjadi sangat berat
  2. Allah SWT tersangat murka kepadanya.
  3. Allah SWT akan menyiksanya dengan api neraka.
Sebagai ingatan pada diri sendiri dan tuan-tuan sekelian, tunaikanlah solat 5 waktu ; seelok-eloknya tunaikanlah secara berjamaah. Luangkanlah sedikit masa untuk mengadap pencipta kita Allah SWT, semoga kita beroleh rahmatNya dan di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, Amin.

Innovasi Baru Di Dalam Televisyen Internet

Era kewujudan TV di Malaysia akan berubah dengan hadirnya pesaing baru di dalam dunia televisyen. Dengan kemunculan HyppTV yang menggunakan talian internet yang diperkenalkan pada awal tahun ini telah memberi dimensi baru dalam dunia penyiaran TV di Malaysia.

Dari segi teknikalnya, ia dikatakan tidak akan mengalami gangguan siaran langsung di dalam apa jua keadaan cuaca yang buruk atau hujan (melainkan berlakunya hari kiamat)…hehe. Ini jika dibandingkan dengan saluran TV berbayar yang lain yang mana akan tiada siaran langsung bila berlaku hari hujan.

Tahukah anda televisyen HyppTV ini telah diperkenalkan oleh satu-satunya syarikat monopoli talian tetap iaitu Telekom Malaysia Berhad (TM). Ia dikhususkan kepada pelanggan talian Internet jalur lebar Unifi TM untuk menonton pelbagai saluran TV yang disediakan.

Dikatakan pada ketika ini HyppTV menyediakan 22 saluran dan ia dapat ditonton secara percuma kepada lebih 5,000 pelanggan UniFi TM yang meliputi saluran TV dalam dan luar negara. TM telah meluaskan penggunaan UniFi TM menjangkau 18 buah kawasan berbanding 4 kawasan sahaja pada ketika ia dilancarkan pada bulan Mac lalu.

Pemasangan set UniFi TM yang berjumlah lebih kurang RM1,300 dipasang secara percuma sehingga hujung tahun ini. Manakala kesemua 22 saluran yang disediakan oleh HyppTV termasuk saluran VoD akan diberi secara percuma kepada pelanggan sehingga bulan September ini dan selepas itu, bayaran tertentu akan dikenakan kepada pelanggan yang ingin menikmati saluran premium (kecuali pakej VIP20) atau melanggan filem atau drama yang diinginkan melalui VoD.

Rabu, 4 Mei 2011

Bekas isteri AC Mizal diberi amaran terakhir

 04/05/2011

KUALA LUMPUR 3 Mei – Seorang hakim memberi amaran terakhir kepada bekas isteri pengacara dan pelakon AC Mizal, Shafnie Zainuddin kerana gagal hadir tanpa alasan yang kukuh pada perbicaraan kes tuntutan pengubahan nafkah anak yang dikemukakan terhadap artis tersebut.

Menurut Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah, kegagalan Shafnie selaku plaintif ke prosiding hari ini menunjukkan wanita tersebut tidak berminat terhadap tuntutannya yang difailkan kira-kira empat tahun lalu.
Ujar Abdul Halim, walaupun peguam syarie yang mewakili Shafnie, Mohd. Ridhwan Husin memberi alasan bahawa anak guamnya berada di luar kawasan, tetapi perkara itu tidak dinyatakan bersama notis atau surat kepada mahkamah.

‘‘Mahkamah bukan hendak menafikan hak Shafnie, tetapi ketidakhadiran ke mahkamah hari ini menunjukkan seolah-olah plaintif tidak serius,’’ tegas Abdul Halim di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang, dekat sini.

Defendan, AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini hadir dengan ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Siti Aishah Din.

Terdahulu, Mohd. Ridhwan memohon untuk menangguhkan perbicaraan hari ini berikutan dua saksi termasuk ibu Shafnie, Rapiah Ab. Talib, 61, tidak dapat hadir kerana sakit.

Abdul Halim membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 6 September ini untuk sambung bicara.

Khamis, 14 April 2011

Otak 20 tahun dalam kubur masih elok

Bukti Keajaiban Kuasa Ilahi!!!
Dilulus untuk paparan oleh mujahid

SEBERANG PRAI - Tuhan Maha Besar. Lebih 50 orang ahli keluarga Allahyarham Salasiah Jasni, 78, yang hadir pada majlis pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Labu, Penaga di sini menyaksikan bukti kebesaran Ilahi.

Ini kerana, sebaik tiba di tanah perkuburan itu, mereka terkejut apabila dua penggali kubur yang sedang menyiapkan liang lahad untuk Salasiah menunjukkan penemuan otak manusia.

Lebih mengejutkan sebaik penemuan otak itu beberapa kejadian aneh berlaku hingga menyebabkan semua ahli keluarganya beristighfar panjang dan memuji kebesaran Allah.

Menghairankan otak manusia yang ditemui itu masih dalam keadaan baik sedangkan tulang dan papan keranda dipercayai dari kubur lama bersebelahan liang lahad yang baru di gali itu sudah hancur.

Cucu Allahyarham, Shuhaili Che Ros, 37, berkata, penemuan otak manusia yang masih dalam keadaan elok itu amat menghairankan ahli keluarganya.

“Sepanjang pengetahuan kami otak manusia yang ditemui itu berasal dari sebuah liang lahad yang sudah berusia 20 tahun.

“Malah papan keranda dan semua tulang milik si mati sudah reput tetapi otak ini masih dalam keadaan baik dan sempurna,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil otak yang dipenuhi lumpur itu dan meletakkan di atas daun pisang sambil diperhatikan ahli keluarganya yang lain.

“Menghairankan, otak itu kemudiannya dilihat bertukar menjadi bersih dan lumpur yang melekat padanya tertanggal dengan sendiri.

“Kami tidak mengusiknya dan selepas hampir 20 minit otak itu kemudiannya berubah warna dari kehitaman kepada warna merah dan pada masa sama urat darah mula timbul menyebabkan kami melihat ia seperti otak baru,” katanya.

Setelah itu otak berkenaan kemudiannya dikebumikan semula bersama jenazah neneknya.

Dalam pada itu penggali kubur yang menemui otak itu, Saad Shaari, 60, berkata, ini adalah pengalaman peliknya yang pertama selepas hampir 30 tahun menjadi penggali kubur.

“Saya dan adik, A Rahim, 55, menemui otak ini ketika hampir separuh menyiapkan liang lahad untuk Allahyarham Salasiah.

“Menghairankan sepatutnya otak ini sudah hancur bersama tulang dan papan keranda,” katanya.

Menurutnya lagi, begitu juga ketika kerja penggalian dijalankan kerana ia melibatkan penggunaan cangkul dan skop, tetapi otak itu masih lagi ditemui dalam keadaan sempurna.

“Ini ialah salah satu kebesaran tuhan dan kita yang melihatnya sepatut mengambil pengajaran dari penemuan ini.

“Di samping itu, penemuan ini juga bagi saya adalah satu ingatan agar kita sering melakukan kebaikan sepanjang hidup ini kerana Allah tidak pernah memungkiri janjinya memberi kebaikan kepada hamban:ya yang melakukan kebaikan,” katanya.

Saad berkata, liang lahad lama yang terletak bersebelahan kubur Salasiah itu adalah milik seorang hamba Allah yang sentiasa membaca al-Quran.

Rabu, 6 April 2011

Tak boleh kahwin maya

BAGAIMANA sekiranya lelaki dan wanita sedang bersembang mengenai imaginasi hubungan seks dalam ruangan sembang di Internet?

Adakah ia termasuk dalam perbuatan zina?

Saya juga mahu kepastian, bagaimana jika yang mahu bernikah melalui alam maya (Internet) bagi mengelak zina?

ALONG, Pahang

SEKS siber (cybersex) adalah hubungan seks secara maya antara dua individu atau lebih secara jarak jauh melalui jaringan komputer dengan setiap orang menghantar mesej hubungan seksual kepada pasangannya.

Kemudahan webcam pula menjadi nilai tambah kerana ia berlaku pada waktu sebenar. Bagaimanapun, ia tidak membabitkan hubungan seksual sebenar tetapi lebih kepada khayalan seksual atau melakukan onani (http://en.wikipedia.org/wiki/Cybersex).

Memandangkan seks siber tiada hubungan seksual, ia dikira dalam kategori percubaan melakukan zina (mukadimah zina). Bagaimanapun, Islam tetap melarang dan mengharamkannya sekiranya bukan suami isteri terbabit.

Jenayah zina adalah persetubuhan haram yang sengaja dilakukan dengan wanita yang dikira haram disetubuhinya. Islam tidak dapat menerima konsep pernikahan melalui alam maya (Internet) seperti yang anda inginkan.

Perkahwinan alam maya hanya bersifat imaginasi semata-mata. Lagipun perkahwinan dalam Islam ada rukun dan syarat-syarat tertentu.

Termasuk dalam rukun nikah adalah (1) lelaki yang bakal menjadi suami (2) perempuan yang bakal menjadi isteri (3) wali (4) dua orang saksi dan (5) ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan).

Ada pula syarat tertentu kepada bakal suami dan isteri tadi, antaranya bagi suami hendaklah Islam, lelaki tertentu, belum mempunyai empat isteri, dengan kerelaan sendiri dan seorang lelaki dan bukan khunsa.

Bagi bakal isteri pula hendaklah beragama Islam, perempuan yang tertentu, bukan mahram kepada lelaki bakal suami, bukan isteri orang atau tidak dalam iddah dan tidak berihram haji atau umrah.

Pernikahan melalui alam maya tidak dapat memastikan rukun dan syarat nikah terlaksana. Dengan itu, ia tidak dibenarkan. Anda dinasihatkan berbincang dengan keluarga atau sahabat terdekat dalam merancang perkahwinan yang sebenar seperti yang sudah diamalkan masyarakat Islam.

Percubaan kreatif seperti perkahwinan alam maya tidak dapat memenuhi tujuan sebenar perkahwinan iaitu memupuk kasih sayang sesama pasangan dan penambahan zuriat.

Dr Salam
My Metro