kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Khamis, 14 April 2011

Otak 20 tahun dalam kubur masih elok

Bukti Keajaiban Kuasa Ilahi!!!
Dilulus untuk paparan oleh mujahid

SEBERANG PRAI - Tuhan Maha Besar. Lebih 50 orang ahli keluarga Allahyarham Salasiah Jasni, 78, yang hadir pada majlis pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Labu, Penaga di sini menyaksikan bukti kebesaran Ilahi.

Ini kerana, sebaik tiba di tanah perkuburan itu, mereka terkejut apabila dua penggali kubur yang sedang menyiapkan liang lahad untuk Salasiah menunjukkan penemuan otak manusia.

Lebih mengejutkan sebaik penemuan otak itu beberapa kejadian aneh berlaku hingga menyebabkan semua ahli keluarganya beristighfar panjang dan memuji kebesaran Allah.

Menghairankan otak manusia yang ditemui itu masih dalam keadaan baik sedangkan tulang dan papan keranda dipercayai dari kubur lama bersebelahan liang lahad yang baru di gali itu sudah hancur.

Cucu Allahyarham, Shuhaili Che Ros, 37, berkata, penemuan otak manusia yang masih dalam keadaan elok itu amat menghairankan ahli keluarganya.

“Sepanjang pengetahuan kami otak manusia yang ditemui itu berasal dari sebuah liang lahad yang sudah berusia 20 tahun.

“Malah papan keranda dan semua tulang milik si mati sudah reput tetapi otak ini masih dalam keadaan baik dan sempurna,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil otak yang dipenuhi lumpur itu dan meletakkan di atas daun pisang sambil diperhatikan ahli keluarganya yang lain.

“Menghairankan, otak itu kemudiannya dilihat bertukar menjadi bersih dan lumpur yang melekat padanya tertanggal dengan sendiri.

“Kami tidak mengusiknya dan selepas hampir 20 minit otak itu kemudiannya berubah warna dari kehitaman kepada warna merah dan pada masa sama urat darah mula timbul menyebabkan kami melihat ia seperti otak baru,” katanya.

Setelah itu otak berkenaan kemudiannya dikebumikan semula bersama jenazah neneknya.

Dalam pada itu penggali kubur yang menemui otak itu, Saad Shaari, 60, berkata, ini adalah pengalaman peliknya yang pertama selepas hampir 30 tahun menjadi penggali kubur.

“Saya dan adik, A Rahim, 55, menemui otak ini ketika hampir separuh menyiapkan liang lahad untuk Allahyarham Salasiah.

“Menghairankan sepatutnya otak ini sudah hancur bersama tulang dan papan keranda,” katanya.

Menurutnya lagi, begitu juga ketika kerja penggalian dijalankan kerana ia melibatkan penggunaan cangkul dan skop, tetapi otak itu masih lagi ditemui dalam keadaan sempurna.

“Ini ialah salah satu kebesaran tuhan dan kita yang melihatnya sepatut mengambil pengajaran dari penemuan ini.

“Di samping itu, penemuan ini juga bagi saya adalah satu ingatan agar kita sering melakukan kebaikan sepanjang hidup ini kerana Allah tidak pernah memungkiri janjinya memberi kebaikan kepada hamban:ya yang melakukan kebaikan,” katanya.

Saad berkata, liang lahad lama yang terletak bersebelahan kubur Salasiah itu adalah milik seorang hamba Allah yang sentiasa membaca al-Quran.

Rabu, 6 April 2011

Tak boleh kahwin maya

BAGAIMANA sekiranya lelaki dan wanita sedang bersembang mengenai imaginasi hubungan seks dalam ruangan sembang di Internet?

Adakah ia termasuk dalam perbuatan zina?

Saya juga mahu kepastian, bagaimana jika yang mahu bernikah melalui alam maya (Internet) bagi mengelak zina?

ALONG, Pahang

SEKS siber (cybersex) adalah hubungan seks secara maya antara dua individu atau lebih secara jarak jauh melalui jaringan komputer dengan setiap orang menghantar mesej hubungan seksual kepada pasangannya.

Kemudahan webcam pula menjadi nilai tambah kerana ia berlaku pada waktu sebenar. Bagaimanapun, ia tidak membabitkan hubungan seksual sebenar tetapi lebih kepada khayalan seksual atau melakukan onani (http://en.wikipedia.org/wiki/Cybersex).

Memandangkan seks siber tiada hubungan seksual, ia dikira dalam kategori percubaan melakukan zina (mukadimah zina). Bagaimanapun, Islam tetap melarang dan mengharamkannya sekiranya bukan suami isteri terbabit.

Jenayah zina adalah persetubuhan haram yang sengaja dilakukan dengan wanita yang dikira haram disetubuhinya. Islam tidak dapat menerima konsep pernikahan melalui alam maya (Internet) seperti yang anda inginkan.

Perkahwinan alam maya hanya bersifat imaginasi semata-mata. Lagipun perkahwinan dalam Islam ada rukun dan syarat-syarat tertentu.

Termasuk dalam rukun nikah adalah (1) lelaki yang bakal menjadi suami (2) perempuan yang bakal menjadi isteri (3) wali (4) dua orang saksi dan (5) ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan).

Ada pula syarat tertentu kepada bakal suami dan isteri tadi, antaranya bagi suami hendaklah Islam, lelaki tertentu, belum mempunyai empat isteri, dengan kerelaan sendiri dan seorang lelaki dan bukan khunsa.

Bagi bakal isteri pula hendaklah beragama Islam, perempuan yang tertentu, bukan mahram kepada lelaki bakal suami, bukan isteri orang atau tidak dalam iddah dan tidak berihram haji atau umrah.

Pernikahan melalui alam maya tidak dapat memastikan rukun dan syarat nikah terlaksana. Dengan itu, ia tidak dibenarkan. Anda dinasihatkan berbincang dengan keluarga atau sahabat terdekat dalam merancang perkahwinan yang sebenar seperti yang sudah diamalkan masyarakat Islam.

Percubaan kreatif seperti perkahwinan alam maya tidak dapat memenuhi tujuan sebenar perkahwinan iaitu memupuk kasih sayang sesama pasangan dan penambahan zuriat.

Dr Salam
My Metro

Tidak sengaja makan daging babi

TAHUN lalu saya ke China atas urusan kerja syarikat. Di sana, pihak syarikat menyediakan masakan makan tengah hari. Selepas makan, alangkah terkejutnya saya mengetahui daging yang saya makan adalah daging babi.


Apakah hukumnya Dr? Adakah saya berdosa besar dan bagaimana kuman yang ada dalam daging babi yang saya makan itu?


FAHIM,
Perak


HUKUM daging babi adalah haram dimakan. Umat Islam hendaklah mengelak daripada memakan daging babi dan perlu waspada ketika memesan makanan, lebih-lebih lagi apabila berada di luar negara.

Larangan memakan daging babi terkandung dalam al-Quran, antaranya dalam ayat berikut: "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Baqarah ayat 173)

Hukum memakan daging babi tanpa sedar atau tidak sengaja tetap haram. Walaupun begitu, dosanya adalah kurang atau dimaafkan berbanding dengan memakan secara sengaja.

Dr Salam
My Metro

Cara lupus al-Quran buruk

SAYA ingin meminta pandangan Dr mengenai cara terbaik membuang buku agama lama dan cebisan ayat al-Quran yang dicetak daripada komputer.


Adakah dengan cara membakar dan bagaimana pula dengan abunya?


RADZI,
Selangor

CARA terbaik adalah mengumpul bahan agama dan cebisan ayat al-Quran berkenaan dalam satu tempat untuk dibakar. Bagi memastikan pembakaran secara sempurna, bahan itu bolehlah dicarik menjadi helaian kecil dan barulah dibakar.

Abunya bolehlah dihanyutkan ke sungai atau laut. Ia juga boleh ditanam di tempat yang tidak di langkah manusia.

Selain itu, ada juga usaha syarikat tertentu mengumpul bahan agama untuk proses pelupusan seperti Pusat Pelupusan Ayat Al-Quran Percetakan Saufi di Batu 10 Cheras, Kajang.

Anda juga boleh menghubungi syarikat itu bagi tujuan pelupusan bahan agama berkenaan.

Dr Salam

My Metro

Empat masjid di Wilayah Persekutuan kutip RM117,360 bantu mangsa gempa Jepun

KUALA LUMPUR -

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyerahkan sumbangan RM117,360 kepada kerajaan Jepun untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di negara itu bulan lepas.

 Sumbangan itu hasil kutipan daripada jemaah di empat masjid di Wilayah Persekutuan iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Negara pada solat Jumaat 25 Mac lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menyampaikan cek sumbangan itu kepada Timbalan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Koichi Ito.

Pada 11 Mac yang lalu , Jepun digegarkan dengan gempa bumi kuat yang mencetuskan tsunami di beberapa daerah sehingga mengakibatkan lebih 12,000 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Sinar Harian

iDAN:
Orang kita sentiasa prihatin kepada rakyat luar biarpun bukan kaum pun seagama kita. Jati diri kita nampaknya amat terdidik sedia membantu mereka yang ditimpa musibah. Teruskan sikap dermawan ini.