kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Rabu, 6 Ogos 2014

Firma Belanda diberi kontrak terajui usaha mencari pesawat MH370

Ogos 06, 2014
Firma Belanda diberi kontrak terajui usaha mencari pesawat MH370
 
  Fugro akan menggunakan dua buah kapal yang dilengkapi kenderaan laut dalam yang ditunda dan 
 membawa pakar untuk menjalankan operasi pencarian. - Gambar Fail fugro.com 
 
KUALA LUMPUR: Australia memilih firma Belanda, Fugro Survey Pte Ltd untuk menerajui usaha pencarian laut dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata Fugro akan menggunakan dua buah kapal yang dilengkapi kenderaan laut dalam yang ditunda dan membawa pakar untuk menjalankan operasi pencarian.

"Kapal akan mencari di dasar laut menggunakan peralatan side scan sonar, multibeam echo sounder dan kamera video untuk mencari dan mengenal pasti sebarang serpihan.

"Saya tetap yakin kami akan mengesan pesawat yang hilang dalam tumpuan kawasan pencarian," katanya dalam sidang akhbar di Canberra yang turut disalur secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata firma yang berpangkalan di Perth itu sudah biasa dengan operasi pencarian MH370 yang dilakukan Australia dengan menawarkan 'penyelesaian teknikal yang berbaloi'.

Kini kapal milik firma itu, Fugro Equator menjalankan survei 'bathymetric' di kawasan baharu pencarian bersama kapal tentera laut China, Zhu Kezhen.

Truss berkata survei itu telah meliputi 60 peratus kawasan atau kira-kira 32,000 kilometer persegi sejak April lalu.

Pesawat MH370 yang membawa 239 orang sedang menuju Beijing apabila hilang  awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.

Namun selepas itu pihak Australia mengumumkan pada 26 Jun bahawa kawasan pencarian akan diubah pula ke selatan di kawasan kira-kira 60,000 kilometer persegi di sepanjang apa yang dikenali sebagai 'lengkungan ketujuh' di Lautan Hindi.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata survei bathymetric atau pemetaan dasar laut setakat ini menemui beberapa anomali berkaitan geologi dasar lautan.

"Kawasan utara secara bandingan adalah mendatar dan dalam, dan ia menaik ke arah selatan dan permukaannya menjadi semakin sukar.

"Kami belum habis membuat pemetaan... (dan) masih mencari perincian, bentuk yang tidak kami ketahui (sebelum ini) - gunung berapi bawah laut dan pelbagai benda lain. Jadi kami menemui beberapa kejutan semasa kami melakukannya," katanya.

Dolan tidak menolak kemungkinan kanyon dasar laut 'menyembunyikan' pesawat.

MAS dilanda satu lagi tragedi apabila pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur dengan membawa 239 orang termasuk 43 rakyat Malaysia terhempas di selatan Ukraine pada 17 Julai.

Penyiasat antarabangsa cuba menentukan apa yang berlaku kepada pesawat Boeing 777 itu yang terhempas dalam wilayah sedang bergolak antara Ukraine dan Rusia.

Warga tua dikerat, diasin, dimasak anak sendiri

Ogos 06, 2014

Warga tua dikerat, diasin, dimasak anak sendiri
Gambar Hiasan 
 
 
KUALA LUMPUR: Sepasang warga tua di Hong Kong, di usia 60-an, diberitakan dikerat, diasin dan dimasak selepas dibunuh anak mereka sendiri serta rakannya, South China Morning Post melaporkan.

Anak pasangan itu Henry Chau Hoi-leung, 30, mengaku bersalah melakukan pembunuhan tersebut, di Mahkamah First Instance, semalam.

Menurut pendakwaraya Michael Arthur, Henry Chau dan rakannya Tse Chun-kei, 36, telah merancang pembunuhan itu berbulan lamanya dan telah membeli pisau, peti sejuk, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi, lapor harian tersebut.

Kepala dan organ Chau Wing-ki, 65, serta isteri Siu Yuet-yee, 62, ditemui dalam dua peti sejuk pada 15 Mac, manakala kotak cebisan mayat mereka diasin dan dipek di dalam bekas makanan.

Pasangan warga tua itu telah dibunuh pada 1 Mac tahun lepas.

Chau Wing-ki and Siu dilihat masih hidup pada 1 Mac, melalui rakaman CCTV, memasuki bangunan di Tai Kok Tsui bersama Henry Chau.

Menurut pendakwaraya, Henry Chau meninggalkan bangunan kira-kira 20 minit kemudian.

Dia ke hospital bagi mendapatkan rawatan untuk luka di tangannya, yang didakwa pendakwaraya kesan daripada pergelutan dengan ayahnya, harian tersebut melaporkan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Henry Chau melaporkan kepada polis tiga hari kemudian bahawa ibu bapanya didapati hilang setelah pergi ke tanah besar "untuk berseronok."

“Tetapi pada masa sama, Henry Chau menghantar mesej WhatsApp dari dalam balai polis kepada rakannya di mana dia mengaku membunuh ibu bapanya dan memerlukan lebih masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sebelum menjalani hukuman penjara seumur hidup, pendakwaraya berkata,” harian itu melaporkan.

Selepas menahan kedua-dua suspek pada 15 Mac, polis menggeledah pangsapuri di 38 Fuk Chak Street di Tai Kok Tsui dan menemui mayat yang dikerat-kerat itu.

Harian itu melaporkan bahawa polis juga menemui nota dan resit yang menunjukkan pasangan suspek itu telah merancang pembunuhan tersebut pada November 2012.

Selepas penahanan mereka, Henry Chau memberitahu polis dia membunuh ibu bapanya kerana tidak lagi berasa sayang terhadap mereka.

Chau yang mengaku melakukan pembunuhan itu turut menuduh Tse mengerat mayat selain mengasinkan dan dan memasukkannya ke dalam kotak kerana “tidak muat dalam peti sejuk.”

“Satu lagi cara yang didakwanya Tse lakukan ialah memasak bahagian mayat. Katanya, Tse kelihatan seperti "mencincang daging babi barbeku", sebelum memasukkan cebisan mayat ke dalam kotak nasi bersama nasi dan membuangnya ke dalam tong sampah,” lapor harian tersebut.

Tse, walau bagaimanapun, menafikan penglibatannya di dalam pembunuhan itu.

Dia berkata dalam temu bual video dengan polis bahawa Henry Chau menunjukkannya sebuah kotak dengan tangan manusia dan bahagian tubuh yang lain.

Dia kemudian diberi amaran selepas melihat kotak dan bahagian tubuh itu bahawa sukar untuk Tse meyakinkan orang ramai yang dia tidak terlibat mengerat mayat tersebut.


Prevent spreading of 'nude sports' - Wanita Umno

Prevent spreading of 'nude sports' - Wanita Umno
 
 
The video footage lasting five minutes and 52 seconds showed a group of men and women in the nude.
 
 
GEORGE TOWN:
Appropriate investigation and action must be taken by the relevant authorities to ensure that nude sports activities do not spread in the country.

Penang Wanita Umno head, Senator Norliza Abdul Rahim said the nude festival which allegedly took place at the National Park, Teluk Bahang here recently was a serious case and immediate action must be taken to prevent it from recurring in the future.

The Tourism Ministry must also find an approach so that tourists entering the country were given early exposure on the culture and religion practised in the country, she told reporters here Wednesday.

She said the National Parks must also be responsible and find the best approach to monitor tourists who were in their area of jurisdiction.

"We (Wanita Umno) take a serious view over the issue as we don't want more social and moral problems that may arise among the young generation in the country," she said.

The video entitled 'Nude Festival In Teluk Bahang, Penang' went viral on the social websites for the past two days.

The video footage lasting five minutes and 52 seconds showed a group of men and women in the nude participating in various activities in a hut and on the beach.

Badang negara terima hadiah lot tanah banglo dan wang tunai

Ogos 03, 2014
Badang negara terima hadiah lot tanah banglo dan wang tunai
 
 
Kerajaan Terengganu menghadiahkan satu lot tanah serta wang tunai berjumlah RM10,000 kepada atlet 
 
angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor. 
 
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menghadiahkan satu lot tanah serta wang tunai berjumlah RM10,000 kepada atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor yang menyumbang emas pertama negara pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mengenal pasti tanah lot banglo di kawasan Tok Jembal untuk diserahkan kepada anak Terengganu kelahiran Seberang Takir yang berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Menurutnya, pemberian tanah itu juga selari dengan hasrat wira negara itu yang ingin pulang ke Terengganu untuk mencurahkan bakti di tanah air.

"Proses pemberian tanah akan selesai dalam tempoh dua hingga tiga minggu dan selepas itu kita akan serahkan tanah tersebut kepada badang Terengganu ini.

"Sebelum ini saya ada terbaca kenyataan Hafifi yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menjadi jurulatih sukan angkat berat dan saya rasa hadiah ini paling sesuai bagi Hafifi untuk terus menetap di negeri kelahirannya,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan Mohd Hafifi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Wira negara berusia 24 tahun itu juga diarak menggunakan kenderaan pacuan empat roda mengelilingi Bandar Kuala Terengganu dari LTSM.

Bagi merealisasikan impian Mohd Hafifi, Ahmad Razif berkata kerajaan akan membantu pemenang pingat emas bagi kategori 69 kilogram itu menjadi jurulatih dengan membuka pusat latihan angkat berat melatih anak tempatan menceburi sukan itu.

Katanya kejayaan yang dikecapi Mohd Hafifi juga membuktikan Terengganu mampu melahirkan atlet sukan angkat berat di negeri itu pada masa hadapan dan sehubungan kejayaan atlet itu, sukan angkat berat akan diberi penekanan dalam melahirkan lebih banyak atlet dalam acara berkenaan.

Jelasnya kejayaan yang membanggakan itu juga sekali gus menjadikan anak muda ini sebagai ikon kepada para belia.

Menurutnya kerajaan negeri juga bersedia memberikan kemudahan dan keperluan yang lain kepada Mohd Hafifi untuk mengulangi kejayaan seperti Sukan Olimpik pada masa akan datang.

'Saya akui kita telah gagal'

  Ogos 06, 2014
'Saya akui kita telah gagal'
 
 
Malaysia pulang dengan 6 pingat emas dan Khairy anggap is sebagai satu kegagalan. 
 
 
KUALA LUMPUR: Saya telah mengambil sedikit masa untuk mengkaji keputusan keseluruhan Sukan Komanwel 2014 sebelum memberi apa-apa reaksi. Sejak sehari dua ini memang banyak komen diberi oleh peminat-peminat sukan tanahair. Semua komen tersebut saya terima dengan baik.

Pertama sekali saya mengakui kita telah gagal. Tidak perlu saya bagi komen atau alasan yang lain. Bila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan sasaran 7 pingat emas dan apa yang dicapai hanya 6, itu adalah kegagalan. Tidak perlu saya kata "sasaran hampir tercapai" atau "sebenarnya prestasi atlet kita baik, cuma tak menang". A failure is a failure, full stop.

Kedua, tidak perlu juga saya menuding jari merata tempat. Saya menteri dan walaupun saya tidak berada di atas padang perlawanan sendiri, saya mesti bertanggungjawab. Yang lain - samada para atlet sendiri, jurulatih, pegawai, Majlis Olimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), persatuan-persatuan sukan - semua dibawah naungan saya. Saya bukan jenis orang yang nak memindahkan tanggungjawab dan akauntabiliti kepada orang lain. Jadi saya mohon maaf kepada rakyat sebab kita gagal di Glasgow.

Ketiga, satu kajian post-mortem menyeluruh perlu dibuat secepat mungkin. Kajian ini tidak boleh hanya terhad kepada prestasi di Glasgow sahaja tetapi kena mengambil kira tempoh hampir empat tahun kebelakangan ini. Program Latihan Atlet Elit untuk menyediakan para atlet kebangsaan untuk bertanding di Sukan Komanwel bermula pada tahun 2011 dan telah menelan perbelanjaan jutaan Ringgit wang rakyat. Program ini dikendalikan oleh MSN, ISN dengan kerjasama MOM bersama dengan persatuan-persatuan sukan. Adakah pulangan dari program ini setimpal dengan perbelanjaannya? Adakah program ini berkesan? Adakah pengurusan program ini baik? Adakah kita dapat prestasi yang terbaik dari atlet kita melalui program ini? Soalan-soalan ini (dan banyak lagi) perlu dijawab sebelum kita mulakan program baru untuk empat tahun akan datang.

Keempat, keputusan-keputusan yang sukar mesti dibuat. Tough decisions must be made. Kalau ada persatuan, pegawai, jurulatih atau atlet yang underperforming mereka mesti memberi ruang kepada yang lain. Kalau berkali-kali tidak menepati KPI, mereka mesti berundur atau diganti. Perkara ini mesti dipraktikkan dari atas (saya) sampai ke bawah.

Empat perkara ini adalah perkara asas yang mesti dipegang sebelum kita melihat jauh kehadapan untuk mencetuskan kebangkitan sukan negara.

Tentang prestasi di Glasgow, secara rumusan:
- Trek basikal, menembak, gimrama dan boling padang gagal memberi pingat yang disasarkan. Perlu ada kajian mendalam kepada program-program dibawah sukan tersebut
- Badminton secara keseluruhan OK sahaja. Nasib baik menang kedua-dua doubles pada hari terakhir. Tapi inilah senario badminton tanahair tanpa Lee Chong Wei. We have no one else. Singles lelaki mesti ada rombakan segera
- Angkat berat ada potensi. Bangunkan bakat seperti Hafifi Mansor dan Zulhelmi Pisol supaya terus cemerlang pada Sukan Komanwel 2018
- Akuatik terjun kena kekalkan prestasi cemerlang. Terlepas satu emas sebab kecederaan pada Pandalela. Prestasi yang baik dari Ooi Tze Liang yang boleh kita develop lagi. Penerjun pelapis pun menunjukkan prestasi yang baik
- Skuasy overall OK. Masih bergantung kepada Nicol. Kena develop lagi barisan kedua. Lebih banyak pendedahan perlu diberi kepada pemain muda seperti Valentino, Ivan, Vanessa dan Rachel
- Hoki, memang mengecewakan. Kita diberi tahu pasukan ini pasukan campuran yang memberi pendedahan kepada pemain-pemain junior kerana para pemain senior direhatkan untuk Sukan Asia. Kalau begitu kita tengok keputusan Sukan Asia. Kalau hambar, someone must go.

Selain daripada kajian post-mortem, perkara yang memerlukan perhatian segera adalah persiapan untuk Sukan Asia yang akan bermula pada bulan September. Selepas apa yang berlaku di Glasgow, pemilihan atlet mesti dibuat dengan teliti. Kita perlu hantar mereka yang betul-betul ada peluang menang atau pelapis yang berpotensi tinggi untuk masa depan. Kalau sekadar dihantar untuk mendapat pendedahan tapi menjadi lauk orang lain, tak payah pergi. Membazir duit sahaja. Saya boleh cari pengalaman pendedahan yang lain untuk mereka, tak perlu sampai ke Sukan Asia.

Akhir kata, semua ini kata-kata sahaja. Bak kata orang muda 'sembang' sahaja. Yang penting adalah action and results. Saya akan berusaha untuk membawa perubahan yang diharapkan para peminat sukan tanahair. Cabaran ini besar sebab masalahnya sudah lama berkudis. Saya rasa ramai yang tahu kelemahan struktural dan kronik yang ada. Tetapi itu semua masalah saya yang perlu diatasi. It will not be easy, but it has to be done.

Majulah sukan untuk negara.

Komuniti Islam di Belanda bantu urus jenazah mangsa MH17

Ogos 06, 2014

Komuniti Islam di Belanda bantu urus jenazah mangsa MH17
 
 
Komuniti Islam di Belanda bantu urus jenazah mangsa MH17 
 
 
PUTRAJAYA: Komuniti Islam tempatan di Belanda bersedia memberikan bantuan kepada wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pengurusan pengendalian jenazah rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata persediaan untuk menguruskan jenazah oleh enam imam daripada Jakim juga berjalan lancar dengan bantuan serta hubungan baik dengan komuniti tempatan itu.

"Persiapan pengurusan jenazah di sana (Belanda) serta di sini berjalan lancar. Setibanya di sini (Malaysia) pengurusan jenazah akan dilakukan oleh saya serta Jakim bagi jenazah Islam manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Joseph Kurup bagi jenazah bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di sini hari ini.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau meminta semua pemilik sekolah agama rakyat (SAR) supaya berdaftar di bawah SABK supaya mendapat manfaat seperti kemudahan pinjaman buku, prasarana serta pendedahan latihan perguruan.

"Pendaftaran dengan SABK tidak menjadikan pihak lembaga sekolah tidak mempunyai kuasa terhadap sekolah mereka, malah sekolah yang didaftarkan adalah kekal di bawah bidang kuasa mereka," katanya sambil menambah masih banyak SAR yang tidak berdaftar dengan SABK.

Beliau berkata dengan mendaftar di bawah SABK, pelajar SAR bukan saja berjaya dalam bidang agama semata-mata, malah dilengkapi dengan akademik.

Isnin, 4 Ogos 2014

Tol naik 470%, Tambak Johor sesak teruk

Keengganan pemandu bas kilang membayar kadar tol baru di Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pagi ini mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di Tambak Johor pagi ini.

Menurut Zaobao Singapura, bas kilang yang membawa pekerja ke Singapura setiap hari, mengadakan "mogok" pada pukul 5 pagi apabila diminta membayar kadar baru tol yang naik 470 peratus.

Keengganan mereka untuk berganjak, mengakibatkan kesesakan lalulintas yang teruk di laluan ke pusat pemeriksaan Singapura.

Seorang pemimpin PKR Johor, Steven Chong menulis di facebook yang beliau berada di luar CIQ di mana pemandu bas kilang enggan membayar tol baru, menyebabkankesesakan teruk sejak jam 5 pagi.

Menurutnya, pihak kastam dan polis meminta pemandu bas kilang itu sama ada masuk atau beredar dari situ, tetapi berjanji untuk mengumumkan keputusan mengenai tol baru dalam masa seminggu.

Pemandu bas kilang itu, katanya, menjanjikan protes besar sekiranya keputusan dan pengumuman itu nanti tidak boleh diterima.

Keadaan lalulintas dilaporkan semakin baik pada kira-kira pukul 8 pagi.

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia, mengesahkan kepada
wartawan Channel NewsAsia (CNA), Sumisha Naidu bahawa mogok itu berakhir kira-kira jam 8 tetapi tidak pasti apa punca protes tersebut.

Bagaimanapun, CNA melaporkan pemandu bas nampaknya tidak berpuas hati atas dengan kenaikan lebih 400 peratus kadar bayaran tol di CIQ berkuatkuasa hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan minggu lalu bahawa kadar tol baru untuk kenderaan menuju ke Singapura ialah masing-masing RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 bagi Kelas 1 hingga Kelas 5. Penunggang motosikal dikecualikan.

CNA berkata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) juga menghantar satu nasihat pada jam 8.05 pagi mengatakan bahawa perkhidmatan bas 160, 170, 170X dan 950 - yang kerap berulang alik melalui Tambak Johor - telah menghentikan perkhidmatan mereka ke Johor Bahru sehingga diberitahu kelak.

Katanya ia ekoran "protes terhadap kenaikan bayaran tol Malaysia oleh
pengusaha bas Malaysia yang menghalang aliran trafik bas melalui pusat pemeriksaan Johor Bahru.

Perkhidmatannya, bagaimanapun disambung semula, kira-kira sejam kemudian.

Pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau turut menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaannya.

MHA berkata kenaikan bayaran itu adalah untuk membiayai pembinaan kemudahan di Eastern Dispersal Link (EDL) lebuh raya, projek yang dijalankan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Sebaliknya, kata Boo, PLUS sepatutnya mengambil alih EDL daripada MRCB dan membukanya untuk pengguna jalan raya tanpa sebarang bayaran kerana EDL adalah lanjutan yang menghubungkan CIQ dengan Lebuh Raya Utara Selatan (NSE).

Sebelum ini, LTA juga mengumumkan bahawa ia akan menaikkan kadar bayaran permit masuk bagi kenderaan dan kenderaan barangan dengan pendaftaran asing berkuatkuasa pada 1 Ogos.