kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Rabu, 20 April 2016

Perang Sungai Manik (2)


Posted on 26/02/2012by admin.upbb

Markas PKM di Sungai Tungko gempar mendapat berita tentang pembunuhan Mail Rudo. Dengan bersenjatakan raifel MK5, berduyun-duyun gerombolan komunis yang diketuai orang kanan mereka si Ah Pau bergegas menghala ke Bendang DO, Parit 6, Sungai Manik.

“Ai yaa…kaki tangan semua kasi potong habit ka…manyak cilaka itu olang.” bebel si Ah Pau apabila terpandang mayat Mail Rudo yang masih tabirangkang (terkangkang) di atas titi. Tak seorang pun keluarga Banjar di Bendang DO yang berani tampil menunjukkan muka. Mereka hanya menyaksikan dari jendela rumah masing-masing.

Hari semakin larut petang, gerombolan komunis masih riuh berbincang sesama sendiri. Entah apa yang mereka bincangkan tak seorang pun penduduk kampung yang mengerti. Sejurus kemudian, kumpulan komunis itu pergi dari rumah ke rumah manggandah(mengetuk kuat) dinding mengarahkan orang kampung, tua dan muda, berkumpul di hadapan Pekan Rabu.

Seorang demi seorang di soal siasat termasuklah Utoh Putih. Namun, keluarga Banjar sepakat berpura-pura tak kenal siapa yang membunuh Mail Rudo. Akhirnya kepala komunis, si Ah Pau memberi kata dua: Kalau pembunuh Mail Rudo tidak ditangkap, Bendang DO akan jadi padang jarak padang tekukur.

Mayat Mail Rudo ditayut (diikat) dengan tali dan dikandar (galas) dengan kayu panjang untuk dibawa pergi. Rasa maras (kesian) pun ada melihat cara mayat diperlakukan – tak ubah seperti mengandar hasil buruan babi hutan. Tak siapa yang tau ke mana mayat itu dibawa, ditanam atau dibuang ke Sungai Perak. Kalau dibuang ke sungai pastinya ternganga luas mulut sang kuradal (buaya) mendapat habuan petang.

Warga Banjar sepakat meminta Utoh Putih membawa isteri dan anak-anak meninggalkan Bendang DO dengan segera. Maklum sajalah, muntung guri (mulut tempayan) bolehdipisiti (ditutup rapat), mulut manusia siapalah tau. Tapi apa pula kata empunya diri…!

“Cakada (tidak) saudaraku. Untuk apa kalau aku seorang saja yang maharagu (menjaga) anak dan isteri sedangkan kalian sabarataan (semua) terpaksa menanggung derita…aku tak akan meninggalkan kampung ini. Tidak, tidak sekali-kali, apa nak jadi, jadilah.” jenuh penduduk kampung memujuk namun Utoh Putih tetap dengan pendiriannya.

Sudah tiga hari berlalu, Emoh sahabat karib Utoh Putih yang baru dapat berita segeramangunyur (menonong) meninggalkan Balun Bidai menyeberang Sungai Kinta menuju ke Bendang DO untuk menemui sahabat karibnya, kawan sehati, seperguruan dan samajuhara (jaguh). Persahabatan mereka lebih akrab dari hubungan adik-beradik, dan tentunya Emoh tak akan mahijaakan (membiarkan) sahabatnya keseorangan dalam keadaan sedemikian.

“Pariannya diako madam maninggalakan Bandang DO nih …….. Tia mati jua magun Moh ai……….ajal wan maut bacara hudah di tantuakan, siapang nang kawa mahalang.” surung pandiran Utoh Putih nang hanyar haja imbah bamakanan di rumah hidin malam tutih.

“Pariannya (andainya) aku madam (berhijrah) meninggalkan Bendang DO, mati juga akhirnya, ajal maut sudah ditentukan, tak siapa kawa (boleh) menghalang.” Utoh Putih memulakan perbualan setelah selesai makan malam itu.

“Ai, jangan begitu, apa pangrasa (resa) kau ‘Toh?” tanya Emoh yang mula rasa tak sedap hati.

“Kada ah….. kaluko ai,” jawab hidin handap.

“Tak lah, manalah tau,” jawabnya ringkas.

Walau dimapa gin si Emoh magun ham asa balisah napang pinda lain banar parangai sahabat hidin nang sasain ambak bilang banyak mainggihakan pada malilit pandiran. Sarajin amun lawas kada badapatan kadamia cakada bakakaringan gusi palapauan tantan.

Walau bagaimana pun, Emoh masih rasa gelisah kerana lain benar kelakuan sahabatnya yang semakin ambak (pendiam) , lebih bersikap mengiakan dari merancakkan perbualan. Selalunya kalau lama tak berjumpa, tak kering gusi mereka berbual.

Malam semakin larut namun dua orang sahabat karib itu masih lagi belum tidur, masih ‘garunuman’ berbual.

“Moh, andainya ajalku sampai, jangan bersusah payah membawa mayatku ke Balun Bidai, kebumikan saja di sini. Tapi, jangan kau lupa membawa anak isteriku dan serahkan kepada keluarganya di sana. Sepanjang kita bersahabat, kalau ada terlebih terkurang, aku minta halal dunia akhirat. Engkau pula Moh, biarlah disederhanakan manjuhara (kejaguhan). Berhati-hatilah memilih kawan. Satu lagi…tapi jangan pula kau anggap aku menghalau…esok sebelum Zohor, aku minta kau segera beredar dari rumahku, ke mana yang kau nak tuju, aku tak batangatan (melarang). Tak ada apa-apalah, cuma aku rasa lebih selesa kalau bersendirian!”

Marigap (berderau darah) si Emoh mendengar kata-kata sahabatnya, lantas bangun mendakap Utoh Putih. Muntung bungkam (mulut terkunci) – tak sepatah kata pun yang terucap antara mereka kecuali barubuian (deraian) air mata mengenangkan nasib yang bakal menimpa. “Mungkin sudah sampai janji (ajal) saudaraku ini,” bisik hati kecil Emoh.

Mereka terus berbual sampai ke subuh.

Ari magun haja tatarauan, nang badua badangsanak hudaham tacugut di pinggir sumur pamandian.

Dalam remang (tatarauan) subuh, kedua sahabat sudah tacugut (tercegat) di tepi telaga mandi.

“Ayuha, duduklah ‘Toh…..Bismillahirahmanirahim…..” Emoh membaca ayat mandi suci sambil manguboiakan (menyiram) air memandikan sahabatnya si Utoh Putih hingga selesai.

Api di dapur barau (marak) dengan isteri Utoh Putih sibuk menyediakan sarapan pagi. Kesian si isteri kerana tak tau kisah dan hujung pangkal cerita. Pada pengamatannya, bermandi-mandian di subuh hari sudah jadi kelaziman dua orang pendekar tersebut.

Bandang DO hangat babandering mambari tanda pagi baugah tangahari sampai am hudah kutika badua badangsanak kana bapisah. Salah saikung tapaksa mamingkuti janji.

Panas semakin terik di Bendang DO sebagai tanda pagi sudah baugah (beralih) ke tengahari. Maka tibalah saatnya untuk kedua sahabat itu berpisah. Salah seorang terpaksamamingkuti (memegang) janji.

“Jangan lupa pesan guru kita wahai saudaraku, walau nyawa sudah berada di hujung, jangan sekali-kali kau lupa….” pesan Emoh kepada Utoh Putih. Kedua sahabat berpelukan untuk kali terakhir.

“(Barilaan) kita dunia akhirat.” dengan kata-kata itu, Emoh terus menonong meninggalkan sahabatnya si Utoh Putih tanpa menoleh lagi ke belakang. Ke mana gerangan tujuannya, tak siapa pun tahu.

NOTA KAKI:

Perkataan dan paragraph dalam warna biru adalah perkataan Banjar.
Maksud “Barilaan” ialah “Maaf zahir batin dan halalkan termakan terminum”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan