Posted on 03/03/2012by admin.upbb
Sudah genap sebulan perang Sabil di Sungai Manik, tapi masih belum menampakkan tanda akan berakhir. Bertimbun, bergelimpangan mayat komunis namun mereka masih belum serik, malah semakin cekal. Kekuatan mereka bertambah saban hari, entah dari mana datangnya tak pula diketahui.
Dalam pada itu, gerombolan komunis di Seberang Sungai Perak makin mengganas, menyiksa dan membunuh orang Banjar dan Melayu di Kampung Gajah dan Balun Bidai. Orang Cina tidak pula diapa-apakan malah dijaga dengan baik. Begitu agaknya taktik kotor komunis untuk melemahkan semangat pejuang Sabilullah di Sungai Manik.
Tinjau bilang barucau batuhui kada sing rantian basanjaan di higa rumah Patuan Guru Hj. Bakri.
Riuh rendah kicauan burung murai waktu senja di tepi rumah Tuan Guru Haji Bakri.
“Kalau berita baik, bawalah kemari, kalau buruk jauhkanlah” begitulah selalunya kata-kata orang tua Banjar bila mendengar kicau murai diwaktu senja. Betapa ada kebenarannya. Selepas solat Isyak malam itu…
“Assalamualaikum!!!” kedengaran suara memberi salam di depan surau. Serentak jemaah menyambut salam. Setelah diamati (dijanaki)…bergegas (badadas) Tuan Guru turun ke tanah lalu memeluk sambil menepuk belakang orang yang memberi salam.
“Selamat datang adikku” kata-kata aluan Tuan Guru membuat warga Banjar lainnya terpinga-pinga (tarangakan) kerana tak seorang pun yang mengenali (pinandu).
Masmuda, adik (ading) Tuan Guru Hj Bakri baru saja tiba dari Batu Pahat. Si Acil terus menerkam datuk saudara (paninian mamarina) yang tidak kurang hebatnya. Ialah, kalau sudah sedarah sedaging, ke mana lagi tumpahnya ilmu.
Perang Sungai Manik sedang rancak, keadaan di Balun Bidai dan Kampung Gajah semakin genting. Saban hari gerombolan komunis mencari pasal.
“Tak boleh dibiarkan, semakin menjadi-jadi benar keganasan mereka” rungut Tuan Guru Hj Bakri bercampur marah.
Para pejuang Sabilullah sepakat melantik Masmuda sebagai Khalifah perang mengganti Acil di Sungai Manik. Tuan Guru Hj Bakri dan Acil pula akan turun ke Balun Bidai secepat mungkin.
Wafak Selindang Merah dibuat khusus untuk warga di seberang Sungai Perak. Salah seorang tukang tulis kalimah Allahuakbar Selindang Merah bernama Asmuni.
Hj Asmuni, tukang tulis kalimah Allahuakbar di Selendang Merah sedang memegang tongkat peninggalan arwah Tuan Guru Haji Bakri
Pertama kali Masmuda memimpin pejuang Sabilullah di Sungai Manik, ketara benar kehebatannya. Musuh melepaskan tembakan ke atas, peluru berterbangan seperti air hujan menerjah angin kosong (puang). Pada pandangan mereka, para pejuang Sabilullah semuanya tinggi, setinggi pohon getah dan pohon kelapa maka itulah mereka asyik menghalakan tembakan ke atas. Ketika itulah para pejuang Sabilullah menyerbu, menebas, menetak dan memancung musuh. Baru sekejap, bersih (lingai) medan pertempuran.
Namun, antara musuh yang gugur di hujung parang bungkol pejuang Banjar, terdapat ramai yang menyebut kalimah Allah. Setelah diamati ternyata mereka adalah orang Melayu dan Banjar yang sudah terpedaya menyertai perjuangan komunis. Dalam pertempuran sukar untuk mengasingkan antara Banjar, Melayu dan Cina kerana mereka semuanya menyarung pakaian seragam Bintang Tiga.
Para pejuang PKM masih lagi berdegil, tak mengerti makna putus asa. Sambil menanti bantuan dari Sungai Karang seberang Teluk Anson, mereka meneruskan(manyalajurakan) perjuangan.
Mujurlah (madakannya) Allah tidak mengizinkan. Tongkang yang sarat membawa gerombolan PKM dari Sungai Karang karam di tengah Sungai Perak, tak jauh dari Pulau Galagak dekat pelabuhan Teluk Anson.
Melambak gerombolan Cina komunis yang tak pandai berenang (bakunyung) tenggelam batu dan mati lemas. Manakala gerombolan komunis bangsa Melayu dan Banjar yang rata-ratanya pandai berenang terselamat dan sempat berenang ke Pulau Galagak. Kalau tidak, pastinya sesama Islam bakal bertempur di Sungai Manik. Sesungguhnya Allah lagi maha mengetahui.
Berita yang melemahkan perjuangan PKM – ranapnya pejuang mereka di Sungai Manik di tangan warga Banjar di bawah pimpinan Masmuda, panglima Selendang Merah Batu Pahat, Johor.
Dalam pada itu, ramai orang Melayu dan Banjar di Balun Bidai, Kampung Gajah dan kampung-kampung berhampiran memilih untuk lari ke dalam hutan meninggalkan rumah masing-masing kerana komunis semakin mengganas, menembak rumah membabi buta. Mengamuk kononya. Untuk apa melepaskan geram terhadap mereka yang tak tahu menahu!
Lain pula ceritanya dengan kaum Cina yang menghuni kawasan sekitar. Hampir semuanya menyokong perjuangan PKM, dan kerana itulah mereka tidak di ganggu.
Tuan Guru Haji Bakri, Acil dan Emoh selamat menyeberang Sungai Kinta dan sampai di Kampung Changkat, Bayas, Balun Bidai. Sungguh tak disangka rupanya warga Banjar di situ tak juga kurang keberanian mereka.
Acil pula dilantik sebagai Khalifah surau Changkat Bayas, markas pejuang Sabilullah di Balun Bidai. Selendang dan tanjak merah yang dibawa dari Sungai Manik diagih-agihkan sehelai seorang. Pun begitu, sekiranya ada yang memiliki ‘wafak’ sendiri, mereka dibenarkan memakainya. Begitulah cara orang Banjar – walau setinggi mana pun ilmu sendiri, namun ilmu orang lain tetap dihormati. Mencerca (mawada) menghina(mahapak) kebolehan orang lain bukan Banjar namanya.
Siang malam kedengaran bunyi tembakan di pinggir Balun Bidai, entah apa yang mereka tembak tidak pula diketahui. Membunuh dan menyiksa orang, itu sajalah kerja mereka. Setengahnya bertujuan menakutkan – konon komunis masih lagi kuat walaupun sudah tewas di Sungai Manik. Hii, geram betul.
Pada mulanya hampir tujuh puluh orang warga Banjar yang sanggup turut serta sebagai pejuang Sabilullah. Yang penakut (pamburisit) dibenarkan tinggal mengawasi anak isteri mereka yang bakal pergi menyerang markas PKM di tebing Balun Bidai. Tuan Guru Haji Bakri tetap seperti biasa – bersendirian berzikir dan membaca ayat-ayat di surau. Sampai saat dan ketikanya, pergilah para pejuang menuju sarang komunis di tebing Balun Bidai.
Lailahaillallah…Allahuakbar!!!” maka bermulalah perang sabil di daerah Kampung Gajah, Perak.
Khalifah Acil yang masih muda sudah berbulan menentang musuh di Sungai Manik. Boleh dikatakan setiap kali pergi berjuang, darah musuh sampai kering di badan. Medan pertempuran dibuatnya seperti padang permainan. Degil, menari (baigal) menahan tembakan komunis membuat musuh semakin geram. Ditembak tak langsung memberi bekas.
Musuh semakin menghampiri para pejuang Sabilullah.
“Timpasss!!!” (tetak) ujar si Acil berteriak. Apa lagi, parang bungkol terus mandi darah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan