kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Rabu, 20 April 2016

Perang Sungai Manik (5)


Posted on 01/03/2012by admin.upbb

Pagi Sanayan (Isnin), dengan terbitnya matahari di ufuk timur, maka sampailah sudah saat dan ketikanya warga Banjar di Bendang DO membuat perhitungan dengan gerombolan haram jadah – tentera PKM.
Sasain (semakin) cariningan (bergemerlapan) wajah 8 orang perempuan Banjar yang sudah ditatapi (disolek) dan dibingkingi (didandan). Fuh rasa tak dapat lagimamadahakan (menceritakan), rambang mata sekiranya disuruh memilih tunggal ikungan (satu persatu).

Wajah perempuan yang mulanya takurisit katakutanan (kecut ketakutan) mula nampakhabang (merah), dan juga garang! Membara sungguh nampaknya kerana baru saja diminumkan banyu garangsang (air jampi penaik semangat) Tuan Guru. Mudahlah nanti kalau tak ada yang lemah semangat atau lamah buluan (gementar) bila berdepan musuh. Atau kalau ada yang tak tahan melihat darah mangarabuak (membuak-buak) di medan pertempuran.

Mak ooii, kabubungasan (cantik sungguh) tiga orang anak dara ni…milik siapalah gerangan!

Emoh, Acil dan Sabran baru saja didandan manyalumur (menyamar) jadi bibinian(perempuan). Hebat juga hasil tatapan (solekan) warga perempuan Banjar di Bendang DO, mungkin juga boleh mengalahkan ‘mak nyah’ yang terkedek-kedek. Tapi mereka perlu berhati-hati jangan sampai terselak landau (betis), nanti kelihatan pula bulu kaki hirang(hitam) lebat…pecahlah tembelang.

Kira-kira jam 9.00 pagi, bajurut (berduyun-duyun) ‘perempuan’ Banjar tersebut berjalan sebaris meghala ke markas PKM di muara Bendang DO, didahului oleh Ali dan Amat Tuban sebagai wakil penyerahan. Mereka berdua ditangati (dilarang) membawa sebarang senjata. Tapi, orang Banjar tak kan sanggup meninggalkan senjata apatah lagi bila menghala ke medan juang. Lading balati (pisau belati) setajam pisau cukur sudah lama tersisip di pinggang masing-masing. Cuma baju saja yang membuatnya tak dapat dilihat dengan mata kasar.

Gerombolan komunis di markas Bendang DO terbahak-bahak ketawa, macam tak sabar lagi mahadangi (menanti) lebih-lebih lagi tiga orang kepala komunis bernama Ah Boon, Ah Pau dan Ah Jang “Syok mau mali hooo….”

Asa lilihan (rasa gelihati) pun ada melihat tiga orang “anak dara” yang berjalan paling belakang kerana masing-masing bakalumbunan (berselubung) dengan tapih (kain). Umai(mak oi) panyupannya (pemalunya)…malu apa gerangan kalau tangan menggenggam erat hulu parang bungkol si “Kandal Larap”, si “Mandam Layu” dan si “Tungkih Kiwang”. Rasa kekok melangkah kerana tak biasa berjalan memakai kain bairitan (meleret labuh) begitu. Kesiannya…

Patuan Guru Hj.Bakri nang tatinggal manyaurangan matan kada sing bunyian lagi, tasbih bilang kada sing lapasan ditangan, aur bawirid pang kada sing mandakan di atas surau. Kakanakan nang halui-halui ginai cakada nang waninya mamaraki.

Tuan Guru Hj Bakri yang tinggal seorang diri tidak bersuara lagi, tasbih di tangan langsung tak dilepaskan, berwirid kada sing mandakan (tanpa henti) di dalam surau. Kanak-kanak yang masih kecil pun tak berani menghampiri.

Jam 10, deretan “perempuan” tiba di hadapan markas PKM di muara Bendang DO. Lantas si Amat Tuban dan Ali menyerahkan mereka kepada ketua komunis.

Semakin kuat gelak ketawa mereka, gembira tak terperi ibarat bulan jatuh kaasuhan (ke riba). Tak disangka warga Banjar seluruh Bendang DO yang kononnya berani menentang Bintang Tiga hanya omong kosong. Riuh rendah markas dengan dialog Cina, mengumpat agaknya. Benar-benar celaka 13!

“Hei tepilah…lu sana” salah seorang kepala komunis mahingkau (menengking) sambil menolak kasar si Ali dan Amat Tuban. Tiga orang kepala komunis terus memeriksa dari depan ke belakang, menyelak salungkui (selubung) satu persatu. Rambang mata. Yang lainnya turut sama barumbung (berkerumun) tak ubah seperti macan (harimau) yang laparkan daging manusia. Akhirnya nyanyat (gian) hingga tak terjaga lagi markas taktikal.

Sampai kegiliran Diyang (gelaran anak dara Banjar) bungas (cantik) yang kelima, si Ah Boon kepala komunis…

“Ai yaaa…manyak cantik lo ha…” Jarigi bamula pina marayap kapingin manjapaie pangawak urang. Babaya maragap handak mancium…

“Ai yaaa, manyak cantik lo ha…” jarigi (jari) mula hendak merayap kerana kapingin(teringin) benar manjapaie (menyentuh). Babaya (baru) hendak maragap (memeluk) untuk mencium…

“Bangsat, seteru babi haram jadahhh…Allahuakbarrr!!!” hingkau (tengking) si Emoh singhangkuian (dengan kuat).

“Nah ambil habuan engkau sangkala.”

Labukkk….si Kandal Larap hinggap ke sasaran tanda patuh kepada tuannya. Mandabuk kepala si haram jadah jatuh ke tanah bercerai dengan badan, manggalaguak (membuak) darah dalam jantung membasahi bumi Sungai Manik. Acil menerkam si Ah Jang yang sedang tergamam.

Labukkk…mata parang si Mandam Layu hinggap, layu dan longlai leher si Ah Jang terkena libasan parang bungkol si Mandam Layu. Sebiji lagi kepala ketua komunis gugur ke bumi.

Bukkk…timpasan (tetakan) diayun oleh Sabran. Ternyata benar si Tungkih Kiwang tak pernah ingkar kepada tuannya – putus dua badan si Ah Pau. Tungkih Kiwang magun(masih) belum puas – memenggal puluhan gulo (leher) musuh. Pagat basadinan (putus serta merta), humbalingan (bergelimpangan) kepala komunis di halaman markas PKM Bintang Tiga.

Bubuhan (warga) Banjar Bendang DO yang sudah setengah malam basungkup(bersembunyi) dalam parit tak berair bingkas bak cendawan busut, manyasah (mengejar) anak buah Bintang Tiga yang sedang dalam kapipiyangan (kebingungan).

“Allahuakbarrr!!!” babaya (sebaik saja) taparak (menghampiri) musuh yang rahat(sedang) bakatumbahan (lintang pukang), mereka terus melibaskan parang. Belum sempat mengangkat senapang, tubuh mereka sudah dihinggapi parang bungkol. Fuh, macam menebang gadang (batang) pisang.

34 orang orang anggota PKM taampar (terdampar) di tangan Banjar Bendang DO. Darah merah membasahi bumi, mayat galing-galingan (bergelimpangan), senjata musuhhumbalingan (bertaburan). Mandakannya (mujurlah) tak seorang pun warga Banjar yang terkorban atau tercedera, cuma baju dan seluar mereka saja yang merah kacuratan(terkena percikan) darah musuh.

Bangsal komunis diselongkar. Ceh, yang ada cuma seguni beras dan perkakas memasak. Tanpa banyak bicara, Acil memikul guni beras untuk dibawa balik.

Namun, tak sepucuk pun senjata raifel MK5 yang hambur tauran (bertaburan) diambil. Tak teringin langsung, tak berkenan atau tak tau menggunakan makanya dibiarkan begitu saja. Mangararau (merah menyala) mandah (terbakar) markas kecil PKM di muara Bendang DO disalukut (dibakar). Dengan itu berbalaslah sudah kematian arwah si Utoh Putih.

Berkubang sakan warga Banjar membersihkan awak (badan) dalam parit besar di hadapan rumah Tuan Guru Hj Bakri. “Sudahlah” hahalulung (terpekik terlolong) pakcik Sukri – yang tak turut serta dalam pertarungan – memanggil mereka naik.

Azan di surau menandakan masuknya waktu Zohor. Selepas meunaikan solat dan makan tengahari, para pejuang Banjar merebahkan badan kepenatan, memenuhi anjung, pelantar, serambi dan surau kecuali Acil, Emoh dan Sabran. Mereka bertiga menceritakan perlaksanaan rancangan yang sarabanya (serba serbinya) berjalan lancar.

Lihum bapair (meleret senyuman) Tuan Guru Haji Bakri mendengarnya.

http://utuhpaloi.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan