Posted on 27/02/2012by admin.upbb
Selepas solat Zohor tengahari itu, kelopak mata Utoh Putih terasa berat kerana tak tidur semalaman. Anak bungsunya sudah marinuk (merengkok) terlena di tepi lulungkang(jendela) anjung rumah. Hembusan bayu Bendang DO terasa dingin. Tak lama setelah Utoh Putih merebahkan badan di sebelah anaknya, dia pun turut terlena.
Hari semakin menghampiri petang. Entah kenapa gerangan hari ini Bendang DO sunyi sepi. Tak seorang pun yang kelihatan gagaliwalak (mundar mandir) di luar rumah seperti hari-hari biasa. Agaknya mereka sengaja mendiamkan diri dalam rumah, masih terkejut dengan kematian Mail Rudo dan kata-dua komunis, atau sedang menghitung hari kerana tempoh seminggu yang diberikan PKM semakin hampir.
Tanpa disedari enam ikung (orang) komunis sedang karayapan (merayap) mamaraki(menghampiri) rumah Utoh Putih. Kabujuran (kebetulan) pula, isteri dan anak sulungnya tidak ada di rumah kerana pergi maunjun (mengail) ikan puyu bersama kawan-kawan. Dengan menatang raifel MK5, gerombolan komunis terjingkit-jingkit menjenguk setiap jendela rumah. Sebaik terpandang Utoh Putih yang sedang lena, tanpa membuang masapalumpongan (muncung) MK5 diacukan ke kepala dari luar jendela.
“Dahui…dahui…dahui…” tiga kali muncung raifel memuntahkan pilur (peluru). Kerana sudah sampai waktunya – sampai ajal – kekebalan Utoh Putih berakhir. Tak sedikit pun yang tinggal. Mangarabuak (menggelegak) darah dalam jantung keluar menerusi ruang-ruang terbuka di kepala. Mujur juga anak kecilnya tidak diapa-apakan. Kuciak papar(menjerit sakan) si anak yangt terkejut, bakayukut (merangkak) mendakap bapanya yang sudah tidak bernyawa lagi.
Galahakan (berdekah-dekah) ketawa gerombolan komunis kerana puas dapat membalas kematian Mail Rudo. Selepas itu mereka terus balik meninggalkan Pekan Rabu, Bendang DO menghala ke Sungai Tungko.
Si Emoh yang sedang dalam perjalanan menghala ke Bendang DO manggisit (hampir)terserempak dengan kumpulan PKM yang masih terbahak-bahak kegembiraan. Mujur juga dia ternampak mereka lebih dahulu, lantas melompat manyungkupakan(menyembunyikan) diri ke padang tagah (dalam semak). Parang bungkol yang bergelar “si Buruk” sedia tergenggam di tangan. Andai ketemuan, tak taulah apa yang akan terjadi. Mujur juga dia masih lagi dilindungi Allah, dan tak seorang pun ahli komunis tersebut dapat melihatnya.
Barubuian (bercucuran) air mata Emoh terkenang sahabatnya si Utoh Putih. “Mungkin dah tak ada lagi saudaraku ini” bisik hati kecilnya. Belum pun jauh kumpulan komunis itu berlalu, Emoh bingkas dan bukah mancicing (pantas berlari) maranduk (meredah) pinggir bendang menghala ke rumah Utoh Putih yang sudah mula barumbung (ramai) orang.
“Ayuha, pergilah dulu wahai saudaraku kerana bila sudah sampai masanya, tidak siapa dapat menghalang” bisik Emoh ketika terpandang jenazah si Utoh Putih. Barataan(semuanya) warga Banjar di Bendang DO batarukuian (sepakat) untuk menyempurnakan jenazah petang itu juga. Dalam keadaan serba kekurangan kerana darurat, pengkebumian berlarutan sampai ke malam.
Han napa tia bujur, “amun muntung guri wadi hingkat disumpali dipisiti. Muntung manusia siapang nang hingkat manduga”, tantu banar ah hudah ada nang anju ataran, tida di manang bubuhan PKM tutih tahu pada si Utoh Putih nang ampunya angkara!
Betapa benarnya kata-kata “kalau mulut tempayan pekasam boleh disumpali (disumbat)dipisiti (ketat), mulut manusia siapa yang dapat menduga”. Tentu ada yang anju ataran(celupar) kalau tidak masakan PKM tahu Utoh Putih yang empunya angkara.
Mangkining (mengerlit) kilauan parang bungkol si Kandal Larap yang sudah tidakbapagustian (bertuan) tersangkut di tawing (dinding). Sambil mengusap mata parang bungkol peninggalan sahabat karibnya, hati Emoh berkata “Satu ketika nanti akan ku mandikan si Kandal Larap dengan darah seteru haram jadah…”
Parang Bungkul si “Burok” pusaka peninggalan Emoh yang tersimpan rapi dalam jagaan empunya cerita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan