kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Isnin, 21 September 2015

Janda muda rupa-rupanya

Oleh Syanty Octavia Amry
Soctavia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur:

Penyanyi dari seberang Cita Citata, 21, yang popular menerusi lagu Sakitnya Tuh Di Sini sudah menjanda sejak usianya 18 tahun selepas hanya sebulan berkahwin dengan kekasihnya.

Cita ketika ditemui di ibu negara bagi mempromosikan album pertamanya berkata, selama ini tiada seorang pun wartawan yang bertanyakan soal statusnya.

"Selalunya apabila ditemu bual wartawan akan bertanya saya sudah ada teman lelaki atau belum dan bila akan berkahwin.

"Apabila muncul bekas suami membuat pengakuan dia pernah bernikah dengan saya baru-baru ini barulah semua tahu status sebenar saya," katanya.

Menurutnya, dia belum memikirkan untuk berkahwin lagi dan mahu memberi tumpuan dalam bidang nyanyian.

Dalam pada itu, lagu Sakitnya Tuh Di Sini mencetus fenomena apabila mendapat tontonan lebih 50 juta di YouTube sejak dilancarkan beberapa bulan lalu.

Album Cita mencapai jumlah tertinggi apabila CD dan VCD terjual lebih 40,000 unit.

Main pasir tanpa coli

Oleh Ardyhansah Amat dan Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my

biasa bagi orang barat

Kota Kinabalu: Beberapa pengunjung yang mengunjungi pusat peranginan dipercayai di Pulau Sulug, terkejut apabila menyedari gelagat dua gadis warga asing yang bermain pasir dalam keadaan separuh bogel tanpa coli, dengan tidak menghiraukan sensitiviti penduduk tempatan dan pelancong lain.

Aksi kedua-dua warga asing berusia sekitar 20-an itu bukan saja diperhatikan pengunjung kanak-kanak, malah perbuatan mereka berjaya dirakam beberapa pengunjung lain di pulau itu yang terletak di bawah bidang kuasa Taman-Taman Sabah (TTS).

Seorang pengunjung, Mardiana Abdul Ezam, 33, berkata, dia hanya menyedari perbuatan pelancong asing itu selepas ditegur salah seorang anaknya sebaik menjejakkan kaki ke pulau berkenaan kira-kira jam 9 pagi, Ahad lalu.

“Pada mulanya, saya menyangka anak tersilap cakap apabila mendakwa melihat perempuan tidak berbaju sedang bermain pasir.

“Saya kemudian melihat ke arah mereka dan terkejut apabila mendapati dakwaan anak memang betul,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

sekadar hiasan

Rakam video pornografi dekat piramid Giza


Kaherah: Kerajaan Mesir melancarkan siasatan mengenai rakaman pornografi yang dilakukan berhampiran piramid Giza membabitkan pelancong asing.

“Terdapat adegan lucah di kawasan piramid dirakam pelancong asing wanita,” kata Menteri Antikuiti Mesir Mamdouh al-Damaty.

Menurutnya, isu itu diserahkan kepada pendakwa raya.

Rakaman berdurasi 10 minit itu dimuat naik ke Internet tahun lalu, lapor akhbar tempatan Al Masry Al Youm.

Bagaimanapun, ia hanya mendapat perhatian apabila akhbar itu menyiarkan laporan mengenainya dengan gambar dipetik daripada video itu dengan imej payudara wanita dikaburi.

Menurut akhbar itu, klip itu memaparkan adegan bogel dan seks pelancong berbahasa Russia berhampiran piramid berusia 4,500 tahun itu.

Wanita dipercayai bintang porno dan menjadi pelakon utama dalam rakaman itu juga dilihat merungut beberapa kali mengenai piramid didakwanya tidak siap sambil berkata, dia tidak akan datang lagi ke kawasan itu untuk penggambaran selanjutnya. - Agensi


Sengsara ‘anu’ patah

London: Seorang lelaki terkejut dan menahan kesakitan selepas kemaluannya patah ketika mengadakan hubungan seks dengan teman wanitanya.

Alan Parke mendakwa dia mendengar bunyi kuat sebelum merasai sakit yang terlalu teruk pada kemaluannya.

“Saya tidak pernah terbayang boleh merasai sakit seperti itu yang menyebabkan saya terus melompat bangun dan menjerit kesakitan.

“Teman wanita Clarissa Cairns, 22, terkejut dengan reaksi saya.

“Namun, lebih teruk lagi apabila terpaksa ditahan di hospital dengan kemaluan dibalut anduh menyebabkan saya ditertawakan pesakit lain. Saya rasa itu lebih ‘menyakitkan,’” katanya.

Usah abai hubungan intim


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Hubungan intim antara pasangan suami isteri bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan malah ia amat penting kerana mampu menjaga keharmonian, kerukunan serta kebahagiaan berpanjangan dalam kehidupan berumah tangga.

Hubungan itu sebahagian daripada naluri asas manusia yang boleh mencetuskan perasaan positif seperti kegembiraan, ketenteraman, rasa disayangi serta dihargai pasangan.

Bagi pasangan yang sudah berkahwin, hubungan kelamin mengeratkan lagi pertalian yang sudah terjalin sejak sekian lama, menambah rasa kasih dan memberi kesan positif kepada minda kerana memiliki teman rapat yang mampu berkongsi pelbagai kisah suka dan duka.

Minda yang positif amat penting kepada tubuh dalam usaha melawan sebarang penyakit termasuk kanser kerana sekiranya minda bersedia berhadapan apa saja, tubuh akan lebih kuat dan kembali sihat dalam masa yang lebih cepat.

Perunding Pakar Onkologi Perubatan Hospital Beacon Dr Azura Rozila Ahmad berkata, ada ketikanya hubungan intim antara pasangan boleh terjejas akibat beberapa faktor kesihatan atau perasaan berkecamuk apabila berhadapan sesuatu penyakit yang serius.

Menurutnya, keadaan itu turut dialami wanita yang disahkan menghidap barah payudara di negara ini.

“Fikiran mereka terlalu dibelenggu oleh penyakit dihidapi hingga membuatkan ada antara mereka meletakkan kehendak hubungan intim ke tepi sedangkan ia adalah sebahagian daripada proses baik pulih pesakit.

“Selain itu, perasaan malu terhadap perubahan yang dialami tubuh sepanjang menjalani rawatan seperti parut, berat turun mendadak dan kehila­ngan rambut, membuatkan sebahagian pesakit hilang keyakinan untuk bersama suami.

“Mereka berasakan sudah hilang sifat kewanitaan dan rasa diri tidak cukup bagus untuk suami. Pada masa sama, rasa tidak selesa di bahagian rawatan menyebabkan ada yang enggan disentuh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Azura berkata, ada juga pesakit yang mendengar nasihat atau percaya kepada kepercayaan tertentu yang tidak benar atau mempunyai sebarang asas, misalnya mereka bimbang hubungan intim akan menyebabkan bahagian parut tercedera lalu kanser terus merebak serta menyangka penyakit itu boleh berjangkit.

Katanya, hubungan intim juga boleh terjejas apabila ada suami yang terlalu sayangkan isteri mereka hingga sanggup mengetepikan keinginan untuk bersama kerana bimbang akan mencederakan atau membebankan pasangan membuatkan kedua-duanya sanggup melupakan sementara hubungan intim.

“Rawatan kanser bermula daripada diagnosis hingga pembedahan, kemoterapi dan radiasi yang boleh mengambil masa lama iaitu antara enam bulan hingga setahun, malah pengambilan ubat boleh mengambil masa bertahun-tahun.

“Sedangkan hubungan kelamin antara suami isteri amat penting kerana ia mengukuhkan ikatan dan menunjukkan rasa sayang serta penghargaan, secara tidak langsung mewujudkan suasana positif dan meningkatkan keyakinan diri isteri untuk melawan kanser.

“Berfikiran positif serta persediaan mental dari awal terutama sokongan kuat pasangan amat penting untuk melawan kanser. Jika minda lebih bersedia, tubuh boleh berhadapan apa saja dan lebih cepat kuat dan sihat kembali,” katanya.

Menurut Dr Azura, masalah hubungan intim selalu tidak diberi perhatian kerana sukar dibangkitkan, sama ada disebabkan rasa malu bertanya atau tidak tahu hendak bertanya kepada individu tertentu, rasa sensitif, menganggap ia perkara peribadi atau remeh.

Antara kebimbangan pesakit yang menyebabkan mereka tidak mahu melakukan hubungan intim apabila mereka takut mendapat jangkitan, takut sakit atau bimbang ubat kemoterapi akan ­berpindah kepada pasangannya.

“Biarpun pasangan digalakkan tidak mengetepikan hubungan intim, pesakit dinasihatkan tidak mengandung sepanjang rawatan atau enam bulan selepas rawatan kemoterapi tamat bagi mengelak masalah pada bayi,” katanya.

Bagi pesakit, persediaan mental dari awal selepas disahkan menghidap kanser amat penting dan mereka perlu faham tubuh akan mengalami beberapa perubahan ketara, bukan saja secara fizikal, tetapi mental.

Menurutnya, perubahan paling ketara adalah pada bahagian payudara kerana kesan parut atau tiada payudara selepas menjalani prosedur mastektomi. Ini secara tidak langsung mengundang perasaan rendah diri mengenai penampilan atau malu jika pasangan melihat tubuhnya.

“Perasaan kurang menarik dan terjejasnya keyakinan boleh menyebab­kan dorongan keinginan kurang dalam diri untuk melakukan hubungan bersama pasangan.

“Rangsangan pada payudara baru selepas prosedur rekonstruktif berkurang kerana saraf terpotong dan tidak sama seperti dulu selain berasa sedikit kebas.

“Selepas pembedahan, ia akan bengkak sedikit, tetapi tidak sakit apabila sembuh, jadi tiada halangan untuk disentuh walaupun ia berparut,” katanya.

Ketika rawatan radiasi, bahagian payudara menjadi kemerahan, melecet atau mengelupas, tetapi ia hanya bersifat sementara.

Bahagian bahu dan lengan pada sebelah payudara yang terjejas juga menjadi lemah, sakit atau bengkak sedikit.

Oleh itu, ia memerlukan sokongan misalnya penggunaan bantal atau mengalih posisi tangan supaya pesakit berasa lebih selesa ketika hubungan intim.

“Perlu saya tekankan, rawatan kanser payudara tidak membabitkan perubahan rangsangan kelamin secara langsung untuk wanita menikmati hubungan intim.

“Bagaimanapun, kesan ubat-ubatan yang diambil boleh menyebabkan hormon terganggu dan kekeringan pada bahagian faraj yang boleh dibantu dengan penggunaan bahan pelincir dan dilakukan secara perlahan-lahan.

“Sokongan suami amat penting dan kesabaran mereka amat dihargai kerana pasangan akan menjadi lesu selain sering rasa mual,” katanya.

Dr Azura berkata, amat penting untuk pesakit memahami penyakit yang dialaminya bukan salah diri sendiri sebaliknya adalah takdir.

Kanser payudara antara barah paling lazim berlaku di dunia, jadi wanita tidak perlu malu atau rasa bersalah dengan penyakit yang dihadapi.

“Bagi pesakit yang mempunyai pelbagai persoalan termasuk masalah hubungan intim, mereka digalakkan berbincang dengan doktor ataupun mendapat­kan sokongan daripada bekas pesakit yang berjaya melawan kanser payudara.

“Pasangan juga digalakkan memberi sokongan padu termasuk mengikuti sesi perundingan diadakan doktor bagi mendengar dan memahami penyakit itu sekali gus membantu pasangan menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal dialami,” katanya.

Katanya, perubahan hormon ketika rawatan sememangnya memberi impak dan menjejaskan keinginan seksual tetapi ia bersifat sementara, malah ada pasangan yang merasakan hubungan intim mereka lebih bermakna.

Menurut statistik yang dikeluarkan buku laporan Pendaftaran Kanser Negara 2012, dalam kajian selama tiga tahun antara 2003 hingga 2005, seorang daripada 19 wanita di Semenanjung Malaysia didapati mendapat kanser payudara.

Sebanyak 4,000 kes kanser payudara dikesan setiap tahun di negara ini, menjadikan pemeriksaan rutin sama ada melalui kaedah mamogram atau pemeriksaan sendiri untuk pengesanan awal amat penting dalam usaha merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.

Dr Azura berkata, pemberian susu ibu, sekurang-kurangnya selama enam bulan boleh mengurangkan risiko kanser berulang dan kadar kematian disebabkan kanser payu dara.

Hasil kajian baru-baru ini yang diterbitkan di dalam Jurnal Institut Kanser Kebangsaan mendapati, dalam kalangan wanita yang mendapat kanser payu dara dan pernah menyusukan anaknya, pakar penyelidik mendapati risiko kanser berulang berkurang sebanyak 30 peratus malah kadar kematian juga berkurang seba­nyak 28 peratus.

Katanya, teknologi rawatan dan ubatan yang semakin canggih juga membantu merawat kanser dengan berjaya, namun kesedaran wanita untuk membuat pemeriksaan rutin dan mendapatkan rawatan pada peringkat awal amat penting.

“Waktu terbaik untuk membuat pemeriksaan sendiri bagi mengesan sebarang keadaan tidak normal pada payu dara adalah satu minggu selepas kedatangan haid kerana ketika itu payu dara berada dalam keadaan paling lembut,” katanya.