Persetujuan secara prinsip itu direkodkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Muhammad Fateh Saleh di dalam kamarnya di sini hari ini.
Nurul Izzah yang diwakili peguam Nor Mawaddah Ramli dan suaminya, diwakili peguam Azmi Mohd Rais, menghadiri prosiding itu.
Ketika ditemui pemberita, Azmi berkata bagaimanapun persetujuan itu masih belum dijadikan perintah secara rasmi berikutan Hakim Amran Mat Zain sedang bercuti.
Azmi berkata terma-terma lain seperti tempat tinggal dan hak lawatan ke atas dua anak mereka itu akan diputuskan semula apabila kes itu disebut pada 15 Jan depan.
Pada 29 Okt lepas, pasangan itu masih cuba mencari penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu hak penjagaan anak (hadanah) yang difailkan Anggota Parlimen Lembah Pantai itu.
Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, memfailkan permohonan hadanah itu pada 30 April lepas mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir Iskandar berkahwin pada 9 Mei 2003 dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur tujuh tahun dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Rendah Syariah juga menetapkan tarikh sama (15 Jan depan) untuk sebutan semula kes cerai pasangan itu berikutan Raja Ahmad Shahir Iskandar memohon untuk memfailkan semakan terhadap Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperolehi sebelum ini.
Azmi berkata anak guamnya itu tidak mengemukakan cadangan nama 'Hakam' seperti diperintahkan sebelum ini kerana ingin memfailkan semakan laporan itu mengikut Seksyen 51 Akta Pentadbiran Undang-Undag Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
'Hakam' adalah jawatankuasa yang dilantik oleh mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan, maka 'Hakam' akan melafazkan talak bagi pihak suami.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan