Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata identiti dan gambar individu berkenaan akan diedarkan kepada pihak media dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Seorang lagi suspek kes berkenaan dikenal pasti dan polis percaya lelaki itu anggota kumpulan yang kami sedang tahan sekarang ini, dia dipercayai masih berada di negeri ini.
"Gambar dan identiti lelaki itu akan diedarkan dalam masa terdekat ini, mungkin esok atau Selasa dan polis harap orang ramai dapat bantu kami cari dia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan Operasi Pencegahan Jenayah peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini.
Abdul Rahim berkata, usaha mengesan tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 20 dan 42 tahun yang gambar dan identiti mereka didedahkan, Khamis lalu masih giat dijalankan.
"Mereka yang dicari bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan rakan senegara sebelum ini menetap di sekitar Bukit Mertajam dan dipercayai telah melarikan diri. Usaha mengesan mereka giat dijalankan,"
katanya. Katanya, lelaki pertama dikenali sebagai Mohd Yahyar Khan Mohd Rafie, 42, dan adalah pemegang kad UNCHR bernombor 354-13C05627 serta pernah menetap di Taman Tun Sardon, Gelugor di sini sebelum berpindah ke Bukit Mertajam.
"Sementara dua lagi lelaki dikenali sebagai Lokman dan Gemuk, masing-masing berusia lingkungan 20-an. Ketiga-tiga lelaki yang bekerja sebagai buruh kontrak itu dipercayai masih berada di negeri ini," katanya.
Kes pembunuhan membabitkan rakyat negara itu mendapat perhatian apabila kumpulan rakyat Myanmar terbabit mula memotong anggota badan mangsa mereka dan membuangnya di beberapa tempat di Nibong Tebal dan Bukit Mertajam dekat sini termasuk berhampiran balai polis Machang Bubok, dekat sini.
Sejak awal tahun ini, 18 kes pembunuhan rakyat Myanmar dilapor di Pulau Pinang dan pada peringkat awal mayat dibungkus dengan kain putih seperti dikafan dan ditinggalkan di tepi-tepi jalan.
Bagaimanapun, sejak bulan lalu, kumpulan terbabit mula memotong anggota badan mangsa.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan