kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Khamis, 24 Julai 2014

Mayat mangsa MH17 mungkin tidak dapat dibawa pulang sebelum Aidilfitri - Najib

Mayat mangsa MH17 mungkin tidak dapat dibawa pulang sebelum Aidilfitri - Najib
 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani buku takziah sebagai penghormatan ke atas mangsa pesawat MH17, di kediaman Duta Belanda hari ini - Foto Bernama
 
KUALA LUMPUR: 43 mayat warganegara Malaysia mangsa nahas MH17 dijangka tidak dapat dibawa pulang ke tanah air sebelum sambutan Aidilfitri.

Ini kerana, mayat mangsa perlu melalui proses teknikal seperti identifikasi mayat dan ujian DNA.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata proses teknikal itu akan mengambil masa beberapa minggu atau berbulan lamanya.

Selain itu, proses identifikasi mangsa juga perlu dilakukan mengikut prosedur ketat dengan mengambil kira bukti bagi kemungkinan pendakwaan.

“Proses forensik dan identifikasi yang akan dijalankan perlu melihat dari segi pemadanan DNA di mana perlunya kerja-kerja intensif.

“Terutamanya, bukti mungkin diperlukan untuk proses pendakwaan di mahkamah," jelas beliau.

Justeru kata Najib, pihak kerajaan tidak boleh mengenepikan proses berkenaan.

Pada masa sama, Najib turut melahirkan rasa kesal kerana pasukan penyiasat antarabangsa masih tidak diberikan akses penuh ke kawasan kejadian.

Ditanya sama ada beliau akan bincangkan perkara itu dengan Alexander Borodai, komander puak pemisah pro-Rusia di kawasan tempat pesawat itu terhempas, Najib berkata, tidak buat masa ini.

“Tetapi saya akan bercakap, mungkin dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko dan akan menyampaikannya kepada Borodai,” kata Najib sambil menyatakan beliau sedar akan sensitiviti yang terlibat.

Najib berkata kepada pemberita selepas menandatangani buku takziah bagi memperingati 298 mangsa nahas pesawat MH17 di Kediaman Duta Belanda di Malaysia, Harry Molenaar, pada Khamis.

Sementara itu, dalam buku takziah MH17, Najib menulis beberapa baris ayat bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia.

Ucapan Najib itu ditujukan kepada semua keluarga di Belanda yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi MH17.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan