kuredah hutan ranting rindu bagai dulu... jangan awak calar kaki kasihku

Ketik sini Bantu Blog ini

Isnin, 11 Ogos 2014

Saranan daftar pemilik akaun FB mustahil dilaksana

Saranan daftar pemilik akaun FB mustahil dilaksana
11 Ogos 2014

KUALA LUMPUR - Saranan agar kerajaan mendaftarkan semua pemilik akaun laman sosial Facebook dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memudahkan pengenalpastian identiti pemilik akaun adalah mustahil untuk dilaksanakan.

Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz berkata sekiranya ia dilaksanakan, golongan tidak bertanggungjawab yang mahir mengenai teknologi akan menggunakan kaedah lain seperti mewujudkan identiti palsu melalui pemalsuan alamat IP.

"Hal ini akhirnya membuatkan kerajaan dipermainkan semula oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baru-baru ini terdapat saranan agar kerajaan mempertimbangkan semua pemilik akaun laman Facebook berdaftar dengan SKMM bagi memudahkan pengenalpastian identiti pemilik akaun.

Khaireel berkata saranan ini juga sekiranya dilaksanakan secara automatik menuntut kerajaan untuk menubuhkan satu jabatan pendaftaran FB khusus untuk mendaftarkan bilangan pengguna Malaysia yang dianggarkan kira-kira 15 juta.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, kata Khaireel Azlee, perlu juga difahami untuk mengesan identiti individu yang telah memuatkan naik sebarang bahan yang tidak bertanggungjawab seperti bahan lucah dan hasutan melalui Facebook, hanya dapat dikesan sekiranya pelaku menggunakan identiti sebenar.

"Kalau kita ingin menahan individu ini, identiti pemilik akaun tersebut perlu benar-benar wujud dan adalah mustahil untuk mengesan individu yang menggunakan akaun palsu," katanya.

Khaireel Azlee berkata sekiranya saranan itu dilaksanakan kerajaan hanya mengulangi kegagalan yang dilakukan di negara Korea apabila tindakan mendaftarkan pengguna Facebook menemui kegagalan.
Beliau berkata MCMC hanya boleh menyekat secara langsung laman web yang benar-benar mengandungi unsur atau bahan lucah dan agak sukar bagi agensi itu untuk menyekat mana-mana laman web yang kandungan bercampur aduk.

"Sebagai contoh laman web lucah boleh disekat tetapi sukar untuk menyekat laman media sosial berasaskan video yang mempunyai kandungan pelbagai perkongsian video sebagai contoh Youtube dan Vimeo.
"Dalam hal ini, sekatan kandungan terutamanya terhadap kanak-kanak di bawah umur harus bermula dari rumah melalui pemantuan ibu bapa termasuk menetapkan tapisan kandungan dalam setiap gadjet yang diberikan kepada anak-anak mereka," katanya.

Khaireel Azlee berkata, pengguna seharusnya lebih bertanggungjawab dan sentiasa beretika terhadap sebarang bahan yang dimuat naik dan dikongsi dalam alam maya.

"Peranan untuk menyekat sebarang bahan yang diragui terletak pada pengguna laman sosial itu sendiri...kalau tahu bahan itu tidak sepatutnya dikongsi sebaiknya padam atau laporkan kepada Facebook.

"Pengguna harus sedar dengan hanya bertanyakan ‘ya’ atau ‘tidak’ berserta pautan bahan terhadap sesuatu isu di laman sosial ia sudah boleh dianggap sebagai ‘viral’ dan anda dianggap sebahagian daripada penyebar maklumat berkenaan," katanya.

Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan bersedia mengkaji kewajaran menutup laman sosial Facebook ekoran pelbagai penyalahgunaan di laman itu.
Beliau berkata kementerian akan menjalankan kajian bagi mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung perkara itu.

Sebagai reaksi terhadap kenyataan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menyatakan kesediaaan kerajaan meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang menggunakan media sosial untuk menghina agama atau menyebar kenyataan berunsur hasutan tanpa mengira kaum dan agama.

- Bernama

Ingat pesanan Ayahanda Mantan PM kita... internet ini ibarat pisau yang tajam, pandai-pandailah kita menggunakannya. Jika pisau itu digunakan untuk membedah orang sudah pasti ianya satu urusan yang bermanfaat malahan amat besar jasanya jika pisau tajam ini digunakan untuk sebaliknya membunuh orang umpamanya... ianya sememangnya satu jenayah yang kejam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan